Wednesday 8 February 2012

Dasar-Dasar Ekonomi Malaysia


Disunting oleh : Jek Azervin_ajekazrin@gmail/yahoo.com


DASAR EKONOMI BARU

1.0 PENDAHULUAN

Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.

Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990.

1.1 RANCANGAN-RANCANGAN DASAR EKONOMI BARU

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:
  • penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
  • pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum;

Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. 
 
Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah 17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970.

Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB turut tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya :
 
Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990;
Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL(DPN)

2.0 PENDAHULUAN

Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia.

DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.


2.1 OBJEKTIF

Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.


2.2 STRATEGI PELAKSANAN

DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:
  • Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama.
  • Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan.
  • Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
  • Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan Bandar dan luar Bandar.
  • Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan Negara.
  • Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat peyusunan semula masyarakat.
  • Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden.
  • Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti berikut:

  • Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin hardcore poor di samping mengurangkan kemiskinan relatif. (Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin).
  • Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi.
  • Meningkatkan penekanan kepada sector swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat.
  • Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia
termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.



2.3 Program pelaksanan

Beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:

a). Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan

- Pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan.

b). Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa

- DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi.

c). Wawasan 2020

- Penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Negara.

d). Pembasmian Kemiskinan

- Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam melalui pembukaan tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka. Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet yang serupa oleh sektor swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar. Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar-bandar.

- Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar bandar akan membolehkan mereka mendapatkan kerja-kerja yang berkemahiran dan berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.

- Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program berikut :

· Pendidikan dan latihan kesihatan

· Pengangkutan

· Perumahan

· Bekalan air dan elektrik

-Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.

- Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

e). Penyusunan Semula Masyarakat

- Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan.


- DPN akan menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara.

- Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991-2000, kira-kira 55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700 dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam sektor pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran.


- Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan dalam DPN. Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN.

-Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal saham. Jawatankuasa Pelaburan Asing akan meneruskan pengawasan proses penyusunan semula modal saham dengan menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

2.4 Penutup

Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.



DASAR WAWASAN NEGARA

3.0 PENDAHULUAN

Dasar Wawasan Negara menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas, iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama mencapai perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama. DWN juga berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju kepada Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.



Secara khususnya, DWN merupakan gabungan semua usaha pembangunan yang lepas dengan tujuan mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur yang dapat hidup dalam suasana harmoni dan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh Negara untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri, penekanan juga akan diberi kepada membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing serta masyarakat yang bersatu padu dan saksama untuk memastikan perpaduan dan kestabilan sosial. Bagi merealisasikan objektif ini, DWN akan merangkumi teras kritikal seperti berikut:

  • membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang yang tersemat dengan nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi.
  • menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidakseimbangan di kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta wilayah.
  • mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan memperkukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro.
  • mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
  • membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran rakyat.
  • mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan.
  • meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang.

3.1 MATLAMAT DAN RANGKA DASAR

Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) yang meliputi tempoh 2001-2005 merupakan fasa pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010. Dasar Wawasan Negara (DWN) yang terkandung dalam RRJP3 akan menentukan arah pembangunan negara dalam dekad pertama abad ke-21. RMKe-8 menggabungkan strategi, program dan projek yang dirangka bagi mencapai objektif DWN, iaitu pertumbuhan mampan dan pengukuhan daya tahan ekonomi serta mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan saksama.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7), negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat, kecuali pada tahun 1998 apabila negara dilanda krisis ekonomi yang teruk. Walau bagaimanapun, penguncupan ekonomi yang mendadak hanya berlaku dalam jangka masa yang singkat. Ekonomi kembali mengalami pertumbuhan dengan cepat hasil pelaksanaan dasar fiskal dan kewangan serta strategi yang berkesan oleh Kerajaan dan prestasi sektor luaran yang menggalakkan. Pada tahun 2000, ekonomi mencatat kadar pertumbuhan sebelum krisis dengan harga secara relatifnya stabil dan kadar penggangguran yang rendah. Tahap kemiskinan dapat dikurangkan dengan ketara dan kualiti hidup dapat ditingkatkan.

Dalam tempoh RMKe-8, ekonomi Malaysia akan menghadapi cabaran yang lebih besar kesan daripada peningkatan globalisasi dan liberalisasi serta kemajuan teknologi yang pesat, terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan daya tahan ekonomi, usaha yang bersungguh-sungguh akan dilaksana untuk meningkatkan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) serta memudahkan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Keutamaan akan diberi untuk meningkatkan penawaran tenaga buruh yang berkualiti, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P) dan mempercepatkan pembangunan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan. Penekanan juga akan diberi kepada memperkukuhkan nilai-nilai positif di kalangan rakyat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan saksama.

3.2 DASAR WAWASAN NEGARA

Dasar Wawasan Negara menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas, iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama mencapai perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama. DWN juga berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju kepada Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.


Secara khususnya, DWN merupakan gabungan semua usaha pembangunan yang lepas dengan tujuan mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur yang dapat hidup dalam suasana harmoni dan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh Negara untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri, penekanan juga akan diberi kepada membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing serta masyarakat yang bersatu padu dan saksama untuk memastikan perpaduan dan kestabilan sosial. Bagi merealisasikan objektif ini, DWN akan merangkumi teras kritikal seperti berikut:
  • membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang yang tersemat dengan nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi.
  • menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidakseimbangan di kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta wilayah.
  • mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan memperkukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro.
  • mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
  • membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran rakyat.
  • mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan.
  • meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang.



3.3 TERAS PEMBANGUNAN RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN

Dalam tempoh RMKe-7, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

secara keseluruhan adalah positif walaupun krisis kewangan menyebabkan ekonomi menguncup sebanyak 7.4 peratus pada tahun 1998. Krisis ini merupakan satu ujian getir ke atas ketahanan negara dan menyerlahkan kekuatan dan kelemahan ekonomi. Kesan globalisasi, liberalisasi dan kemajuan pesat ICT memerlukan dasar, strategi dan program sedia ada dinilai dan disusun semula serta pendekatan baru dilaksanakan. Dasar dan strategi akan ditumpukan bagi mencapai pertumbuhan mampan dengan daya tahan serta memperkukuhkan infrastruktur kewangan dan ekonomi.

Pelaksanaan strategi yang sesuai pada masa yang tepat dan secara berkesan adalah penting bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh negara dalam membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sehubungan dengan ini, Kerajaan akan terus memastikan pendekatan menyeluruh dan seimbang diambil dalam melaksanakan agenda pembangunan negara. Melalui pendekatan ini, penekanan bukan sahaja akan diberi kepada pembangunan sumber manusia dari segi ekonomi tetapi juga pembangunan aspek-aspek penting yang lain iaitu sosial, kebudayaan dan psikologi.

Dasar dan strategi dalam tempoh RMKe-8 akan memberi tumpuan untuk mencapai pertumbuhan mampan dengan berdaya tahan. Teras RMKe-8 adalah mengubah strategi pertumbuhan daripada strategi yang didorong oleh input kepada strategi yang didorong oleh pengetahuan. Peralihan kepada strategi ini penting dalam usaha meningkatkan pertumbuhan potensi keluaran, mempercepatkan perubahan struktur sektor pembuatan dan perkhidmatan serta menggiatkan sektor pertanian dan memperkukuhkan kestabilan sosioekonomi melalui pengagihan kekayaan dan pendapatan negara yang saksama. RMKe-8 akan memberi lebih tumpuan kepada inisiatif sektor swasta sementara sektor awam akan menyediakan rangka dasar institusi yang kondusif serta perkhidmatan berkualiti bagi membantu pembangunan sector swasta. Dalam usaha meningkatkan daya saing negara, penekanan khusus akan diberi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan menerusi pembangunan sumber manusia, peningkatan aktiviti P&P serta penggunaan teknologi terkini, terutamanya ICT.

Strategi utama yang akan dilaksana dalam tempoh Rancangan bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh negara adalah seperti berikut:
  • meneruskan pengurusan ekonomi makro yang mantap dan memastikan dasar kewangan dan fiskal yang berhemat serta meningkatkan usaha membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
  • memperkukuh dan menyelaras program dan strategi pengagihan bagi memastikan penyertaan yang seimbang di kalangan dan antara kumpulan etnik dan kumpulan pendapatan serta wilaya.
  • meningkatkan pertumbuhan produktiviti melalui pemantapan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pekerja serta mengukuhkan P&P dan sains dan teknologi (S&T).
  • meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi dengan mempercepatkan peralihan sektor ekonomi utama kepada proses pengeluaran yang lebih cekap dan aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi.
  • memperluaskan penggunaan ICT dalam semua sektor ekonomi bagi mempercepatkan proses pertumbuhan.
  • memperkukuhkan asas sumber manusia bagi memastikan bekalan tenaga manusia yang mempunyai tahap pengetahuan, kemahiran teknikal dan kemahiran berfikir yang tinggi.
  • melaksanakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu-isu sumber asli dan alam sekitar bagi mengekalkan pembangunan yang mampan.
  • meningkatkan lagi kualiti hidup melalui peningkatan akses kepada perkhidmatan sosial serta membangunkan aspek estatik dalam kehidupan.
  • mempergiatkan usaha bagi memupuk dan menyemai nilai-nilai positif dan sifat murni di kalangan rakyat menerusi sistem pendidikan, pertubuhan sosial dan agama serta media.

a).Pengekalan Kestabilan Ekonomi Makro

Ekonomi makro yang stabil adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi mampan dengan berdaya tahan. Usaha untuk mengekalkan kestabilan ekonomi makro, termasuk meneruskan pengurusan ekonomi makro yang mantap, memastikan dasar kewangan dan fiscal yang berhemat, menggalakkan pelaburan yang berkualiti dari dalam dan luar negara, meningkatkan pembangunan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan dan mengekalkan kedudukan imbangan pembayaran yang sihat.


Meneruskan pengurusan ekonomi makro yang mantap. Malaysia akan meneruskan matlamat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan kadar inflasi yang rendah dan akaun luar negara dan belanjawan yang mampan. Bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, KDNK sebenar perlu berkembang pada kadar minimum 7.0 peratus setahun. Kadar pertumbuhan ini akan dicapai selaras dengan potensi ekonomi jangka panjang dan asas pengurusan ekonomi makro yang mantap khususnya dalam keadaan harga yang stabil dan mengekalkan lebihan dalam imbangan akaun luar negara dan akaun fiskal. Dalam tempoh RMKe-8, melalui pelaksanaan langkah-langkah untuk meningkatkan potensi keluaran, pertumbuhan ekonomi disasarkan pada kadar 7.5 peratus setahun. Usaha akan diambil bagi meningkatkan kecekapan dalam penggunaan modal, melaksanakan pelaburan berkualiti dan produktif serta meningkatkan produktiviti buruh dan sumbangan TFP kepada pertumbuhan ekonomi.


Dalam mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi, pengalaman daripada krisis ekonomi pada tahun 1998 telah memberi petunjuk perlunya ekonomi mempunyai daya tahan bagi menghadapi sebarang kemungkinan di luar jangkaan dan keupayaan untuk pulih dengan kesan minimum.

Dalam suasana system kewangan global yang semakin berintegrasi, negara akan terus terdedah kepada risiko aliran modal spekulatif jangka pendek yang tidak terkawal. Oleh yang demikian, pengurusan ekonomi makro yang mantap akan dilaksana bagi mengelak ketidakseimbangan serta menyumbang kepada pengukuhan daya tahan ekonomi dan meningkatkan daya saing.

Memastikan dasar kewangan dan fiskal berhemat. Dalam tempoh RMKe-8, Kerajaan akan meneruskan dasar fiskal yang berhemat bagi memastikan nisbah khidmat hutang jangka panjang yang mampan dan terkawal. Sistem percukaian dan pentadbirannya akan terus diperkukuhkan untuk menjana hasil dan meningkatkan kecekapan ekonomi dan produktiviti. Dasar kewangan akan mengukuhkan lagi dasar fiskal dalam menggalakkan pertumbuhan jangka panjang yang mampan. Dalam konteks ini, kecairan akan diuruskan dengan berhemat untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi tanpa menyebabkan berlakunya inflasi. Dasar kewangan juga akan memastikan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank tidak menjadi punca ketidakstabilan yang membawa kepada kenaikan harga aset yang seterusnya menyebabkan tekanan inflasi. Bagi menggalakkan simpanan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, kadar pulangan sebenar deposit yang positif akan dikekalkan. Di samping itu, pasaran bon akan dibangunkan bagi melengkapi system perbankan dalam memenuhi keperluan kewangan khususnya untuk projek infrastruktur yang besar.

Menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam negeri dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti. Usaha akan ditumpu bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam negeri supaya ekonomi dapat dibangun berasaskan strategi pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri serta mengukuhkan daya tahan ekonomi. Kerajaan akan terus melaksana dasar properniagaan dengan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembangunan perniagaan. Sektor swasta akan digalak meningkatkan kualiti pelaburan dan mengembangkannya kepada aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi. 

Sehubungan dengan ini, dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing, usahawan tempatan digalak meningkatkan penggunaan pengetahuan dalam operasi dan menjadikan amalan dan standard antarabangsa sebagai pengukur keupayaan mereka. Di samping itu, perolehan kepakaran dan kontrak pengeluaran akan menjadi bertambah penting khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan pasaran dalam negeri dan antarabangsa. Dasar penswastaan akan terus dilaksana sebagai kaedah memperkukuhkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi serta meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat.

Kerajaan juga akan terus menggalakkan FDI terutamanya dalam aktiviti pembuatan berteknologi tinggi, ICT, tenaga dan aktiviti strategik lain. Galakan akan diberi kepada FDI yang mempunyai komponen P&P serta dapat memberi manfaat yang ketara dalam aspek pembangunan sumber manusia, pemindahan teknologi dan akses kepada pasaran baru. Syarikat multinasional (MNC) akan terus diberi galakan untuk mengukuhkan rantaian dengan industry dalam negeri melalui penggunaan lebih banyak input tempatan. Pelabur asing juga digalakkan membentuk kerjasama dan perkongsian strategik dengan PKS dalam negeri.

Mengekalkan kedudukan imbangan pembayaran yang sihat. Kerajaan akan terus melaksana dasar serampang dua mata untuk mengekalkan kedudukan imbangan pembayaran yang sihat iaitu mengurangkan defisit dalam imbangan perkhidmatan dan meningkatkan lebihan dagangan. Bagi menangani defisit akaun perkhidmatan, industri perkhidmatan akan terus dibangunkan untuk meningkatkan pendapatan tukaran asing daripada pelancongan, perjalanan dan pendidikan, perkapalan dan insurans, kewangan dan pembinaan. Di samping itu, bagi mengekalkan pendapatan eksport, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif yang dapat membangunkan lagi sektor eksport. Usaha juga akan diambil bagi mengurangkan bil import menerusi promosi PKS secara aktif untuk mengeluarkan input perantaraan bagi industri dalam negeri. 

Dalam tempoh Rancangan, industri tempatan dijangka menghadapi persaingan yang lebih hebat kesan daripada peningkatan liberalisasi, iaitu selaras dengan pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Kematangan ekonomi negara membangun yang lain dan negara dalam peralihan kepada ekonomi berasaskan pasaran akan meningkatkan lagi persaingan negara di peringkat global. Usaha berterusan akan diambil untuk memperbaiki kualiti kemudahan infrastruktur dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inisiatif swasta serta meningkatkan pembangunan kelompok industri yang berdaya saing.

Menggiatkan usaha membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Selaras dengan arah aliran global, peningkatan kandungan pengetahuan dalam semua aktiviti ekonomi adalah perlu untuk meningkatkan nilai ditambah dan mewujudkan guna tenaga. Ekonomi berasaskan pengetahuan merupakan strategi penting bagi meningkatkan produktiviti dari segi TFP dan tahap potensi keluaran serta menyediakan asas untuk mengekalkan daya saing negara di peringkat antarabangsa dalam jangka masa pendek dan sederhana. Pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, antara lain, memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi pembangunan sumber manusia, mengukuhkan P&P dan S&T, menaik taraf infrastruktur ICT dan memastikan wujudnya kemudahan pembiayaan yang bersesuaian.

Malaysia perlu membangunkan dengan segera tenaga manusia yang kreatif dan inovatif dalam jumlah yang besar. Bagi mencapai tujuan ini, sistem pendidikan akan dikaji semula untuk menyediakan kemahiran yang diperlukan. Sistem pembelajaran sepanjang hayat akan diperkenalkan dan program peningkatan kemahiran diperkukuhkan untuk menyokong pembentukan masyarakat yang mengutamakan pemerolehan pengetahuan secara berterusan. Di samping itu, program yang lebih teratur akan dilaksana untuk menarik warganegara Malaysia di luar negara serta warga asing yang mempunyai kemahiran tinggi dan berbakat bekerja di Malaysia.


Usaha memperkukuhkan P&P dan S&T termasuklah meningkatkan keupayaan dalam negeri untuk menjalankan P&P, memperkemaskan mekanisme pembiayaan sektor awam untuk P&P, menggalakkan sektor swasta supaya memperuntukkan peratusan yang lebih besar daripada pendapatannya untuk aktiviti ini, menumpukan semula usaha P&P dalam bidang strategik dan memperbaiki penyebaran penemuan penyelidikan dan meningkatkan keupayaan pengkomersilannya. Bagi membantu pertumbuhan aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan, Kerajaan secara berterusan akan menaik taraf infrastruktur komunikasi dan multimedia, menggalakkan pembangunan industri dengan kandungan tempatan dan memastikan regim kawal selia yang menyokong pertumbuhan. Sistem kewangan akan disusun semula bagi memenuhi keperluan aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan. Pembangunan industri modal teroka dan pasaran modal akan dipercepatkan untuk menjadi sumber penting pembiayaan aktiviti berinovatif dan berteknologi tinggi.


b). Pembasmian Kemiskinan dan Penyusunan Semula Masyarakat

Agenda pengagihan akan terus diberi penekanan untuk mencapai matlamat membina masyarakat yang bersatu padu dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini, pelaksanaan strategi dan program pengagihan akan diperkukuh dan diselaraskan bagi memastikan penyertaan seimbang di kalangan dan antara kumpulan etnik, pendapatan dan wilayah. Untuk memastikan objektif ini tercapai Kerajaan akan mengkaji semula dan memperbaiki kelemahan pelaksanaan strategi dan program sedia ada.


Mengukuhkan program pembasmian kemiskinan. Teras pembasmian kemiskinan dalam tempoh Rancangan adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.5 peratus pada tahun 2005. Pertumbuhan ekonomi yang dijangka pesat dalam tempoh Rancangan akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada golongan miskin untuk meningkatkan lagi pendapatan mereka dan keluar daripada belenggu kemiskinan.


Di samping itu, Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan program pembasmian kemiskinan yang lain akan diperkukuhkan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Bagi membasmi kemiskinan di kawasan dan di kalangan golongan yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi, SPKR akan dilaksana sebagai satu pakej bersepadu yang mengandungi komponen ekonomi, sosial dan fizikal.


Kerajaan akan terus menangani isu ketidakseimbangan pendapatan khususnya antara kumpulan etnik, bandar dan luar bandar dan wilayah. Usaha akan dipergiat untuk mewujudkan kumpulan berpendapatan sederhana yang lebih besar dan makmur di samping meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah. Lebih banyak aktiviti yang dapat menjana pendapatan akan diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah miskin dan kumpulan berpendapatan rendah. Antara lain, satu mekanisme akan dibentuk bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan menyediakan bantuan pada masa mereka menghadapi keadaan yang sukar. Bagi memenuhi objektif pembangunan seimbang antara wilayah dan negeri, Kerajaan akan mengambil langkah meningkatkan kadar pertumbuhan bagi negeri-negeri kurang maju dengan menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi seperti pembuatan, pelancongan dan pertanian moden.

Meneruskan agenda penyusunan semula masyarakat. Berhubung dengan penyusunan semula pemilikan, pelbagai program seperti peruntukan saham, skim unit amanah dan penswastaan akan terus dilaksana untuk meningkat dan mengekalkan pemilikan modal dan kawalan Bumiputera ke atas syarikat. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat akan ditingkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus pada tahun 2010 seperti yang terkandung dalam RRJP3. Institusi dan agensi amanah Bumiputera diharap dapat memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam mengembleng sumber Bumiputera dan mewujudkan peluang kekayaan baru.


Usahawan Bumiputera akan digalak mewujudkan usaha sama dan perkongsian strategic dengan usahawan bukan Bumiputera dan asing untuk mendapat manfaat dalam kemajuan teknologi, akses kepada pasaran dan kepakaran pengurusan.

Usaha yang lebih besar akan diambil untuk memperkemaskan pelaksanaan strategi dan program penyusunan semula guna tenaga dalam pelbagai sektor ekonomi dan di semua peringkat pekerjaan supaya mencerminkan komposisi etnik. Pendidikan dan latihan terus menjadi mekanisme penting untuk mencapai objektif penyusunan semula guna tenaga. Dalam hubungan ini, lebih banyak institusi latihan dan vokasional peringkat tinggi akan dibina dalam tempoh Rancangan untuk membolehkan pekerja dan graduan institusi vokasional dan latihan terutamanya Bumiputera untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

Dalam tempoh Rancangan, pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) akan tertumpu kepada mewujudkan usahawan Bumiputera yang lebih mampan, berdikari dan bertaraf dunia. Sokongan dan penglibatan langsung Kerajaan secara terpilih masih diperlukan. Walau bagaimanapun, agensi pelaksana akan mewujudkan dasar tamat penyertaan yang menetapkan tempoh masa bagi peserta menyertai program yang dilaksanakan untuk memberi peluang kepada usahawan Bumiputera lain mendapat manfaat daripada program tersebut. Selaras dengan objektif mewujudkan masyarakat Bumiputera kelas pertengahan yang lebih besar dan makmur, langkah sedia ada akan diperkemaskan lagi dan strategi baru dilaksana untuk memperkukuhkan daya tahan usahawan Bumiputera. Di samping itu, usaha akan dilaksana untuk menyemai nilai-nilai positif seperti amanah, disiplin dan akauntabiliti di kalangan usahawan Bumiputera. Sektor swasta termasuk dewan perniagaan dan persatuan perdagangan dijangka terlibat secara aktif dalam melaksanakan program-program baru bagimelahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang dinamik dan berdaya tahan.


c). Pertumbuhan yang Didorong oleh Produktiviti

Meningkatkan pertumbuhan produktiviti adalah penting bagi mencapai pertumbuhan yang tinggi dengan paras harga yang stabil. Memandangkan sumber dan keupayaan pengumpulan modal yang terhad serta persaingan hebat dalam menarik kemasukan pelaburan asing, peralihan strategi pembangunan ekonomi daripada strategi pertumbuhan yang didorong oleh input kepada strategi pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti melalui peningkatan sumbangan TFP perlu dipercepatkan. Peningkatan dalam TFP melalui penggunaan modal dan buruh yang lebih cekap akan membolehkan ekonomi bergerak ke sempadan pengeluaran yang lebih tinggi. Penekanan akan diberi kepada meningkatkan pendidikan, kemahiran dan keupayaan tenaga buruh, memperkemaskan teknik pengurusan dan organisasi, meningkatkan P&P dan S&T, memperkukuhkan kapasiti inovasi dan melindungi hak milik intelektual serta memperluaskan penggunaan ICT.

Kejayaan strategi pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti bergantung kepada tenaga kerja yang berkualiti dan berkebolehan. Dalam tempoh RMKe-8, sistem penyampaian pendidikan dan latihan akan diorientasikan semula bagi mempercepatkan pengumpulan modal manusia. Pengukuhan sistem ini amat penting kerana perubahan pesat teknologi menyebabkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari menjadi tidak sesuai dengan keperluan pasaran dalam jangka masa yang lebih singkat. Melalui pengukuhan program latihan dan latihan semula, kualiti tenaga kerja dapat ditingkatkan dan seterusnya memendekkan keluk pembelajaran dan mempercepatkan penggunaan proses pengeluaran yang lebih maju dan perolehan teknologi baru. Kerajaan akan mempergiatkan usaha menyediakan lebih ramai tenaga manusia mahir dan berpengetahuan. Dengan wujudnya tenaga manusia sedemikian, ekonomi akan terus meningkatkan keupayaan penggunaan pengetahuan dalam semua peringkat rantaian nilai. 

Kerajaan akan terus menggalakkan firma tempatan untuk menjalankan aktiviti P&P dan inovasi teknologi melalui penyediaan insentif fiskal dan kewangan serta kemudahan infrastruktur yang bersesuaian. Penekanan akan diberi kepada pembiayaan bersama dan menggalakkan program kerjasama dalam penyelidikan antara industri dan institusi awam serta mengkomersilkan penemuan P&P. Memandangkan pelaburan dalam P&P dan pembangunan industri strategik melibatkan kos dan mempunyai risiko yang tinggi, pendekatan nasional yang bersepadu akan dilaksanakan. Sumber-sumber akan disediakan kepada institusi penyelidikan tertentu untuk membangunkan teknologi perindustrian dalam bidang yang dikenal pasti sama ada secara bersendirian atau usahasama dengan industri. Memandangkan bioteknologi merupakan satu daripada teknologi utama dalam abad ke-21, dasar bioteknologi nasional akan digubal bagi merangka pendekatan yang komprehensif dan bersepadu dalam pembangunan bioteknologi.



d). Peningkatan Daya Saing Sektor Utama

Proses liberalisasi dan kemajuan dalam ICT serta perubahan dalam pasaran pengguna akan meningkatkan persaingan di pasaran global. Oleh itu, meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa khususnya dalam sektor-sektor ekonomi utama adalah satu daripada teras pembangunan yang penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Sehubungan dengan ini, langkah yang berkesan termasuk memastikan jentera pentadbiran lebih proaktif akan dilaksanakan. Di samping itu, persekitaran yang kondusif akan disediakan menerusi langkah seperti menggubal undang-undang dan merangka dasar perdagangan yang sesuai. Dalam tempoh Rancangan, sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian akan terus menjadi penggerak utama ekonomi.

Perindustrian masa hadapan. Dalam tempoh RMKe-8, persaingan antara negara untuk mendapatkan pelaburan, pengeluran dan pasaran akan bertambah hebat. Selain peningkatan dalam persaingan, cabaran yang akan dihadapi berikutan kemajuan pesat teknologi akan mempengaruhi pembangunan industri.
 
Bagi memenuhi cabaran tersebut dan mengekalkan momentum pertumbuhan dalam sektor pembuatan, teras strategik ditumpukan untuk membangun industri yang mampu memenuhi keperluan pengguna yang semakin kompleks. Di samping itu, pakatan strategik dengan syarikat asing akan dibentuk untuk meningkatkan daya saing dan menambah peluang di pasaran luar negara.

Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Kedua, industri perlu beralih kepada aktiviti rantaian nilai yang lebih tinggi dengan menumpukan kepada peningkatan inovasi dan penggunaan teknologi baru. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah P&P, rekabentuk pembangunan produk, pembuatan berteknologi tinggi, proses kejuruteraan, lojistik dan pemasaran strategik. Penekanan akan diberi kepada pembangunan kelompok industri yang dinamik. Sehubungan dengan ini, industri elektrik dan elektronik akan terus beralih daripada proses pengeluaran berintensif buruh kepada penggunaan proses pengeluaran berteknologi tinggi. Industri berasaskan sumber pula terutamanya industri petrokimia, farmarsi dan keluaran makanan digalak menjalankan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi.

Kerajaan akan menggalakkan kepelbagaian di kalangan kelompok industri utama memandangkan komposisi industri yang seimbang akan menyumbang kepada pertumbuhan

mampan serta meminimumkan kesan daripada turun naik permintaan. Pada masa yang sama, industri digalak menggunakan proses pengeluaran berintensif pengetahuan untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan. Kerajaan akan terus menggalak kemasukan FDI dalam industry yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri berintensif teknologi serta member penekanan kepada latihan kemahiran untuk memenuhi permintaan tenaga manusia mahir oleh industri.

Memupuk kestabilan dan kecekapan sektor kewangan. Dalam tempoh RMKe-8, penekanan akan ditumpu kepada mengukuh dan meletakkan sektor kewangan pada kedudukan yang strategik dalam persekitaran pasaran yang lebih global dan liberal. 

Teras sektor kewangan ialah untuk mewujudkan sektor kewangan yang kompetitif, kukuh dan berdaya tahan yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi. Bagi mencapai tujuan ini, Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal akan menyediakan rangka kerja yang komprehensif untuk pembangunan strategik sektor kewangan sepanjang tempoh 10 tahun.

Di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan, usaha akan ditumpu bagi membentuk kumpulan utama institusi perbankan tempatan yang kukuh. Pada masa yang sama, institusi perbankan perlu terus memainkan peranan yang dinamik untuk menyokong ekonomi di samping memelihara kestabilan sistem perbankan. Potensi perbankan Islam akan diperkukuhkan lagi sebagai satu sistem yang canggih dan berdaya maju dalam mengembleng tabungan dan menyediakan sumber pelaburan. Rangka kerja institusi dan infrastruktur pasaran akan diperkukuhkan untuk membolehkan sistem perbankan berfungsi dan beroperasi dengan lancar. Pembangunan dan penyelidikan ke atas instrumen kewangan Islam juga akan digalak bagi menjana produk yang berinovatif dan berorientasikan pelanggan.

Pelan Induk Pasaran Modal menggariskan strategi bagi pembangunan pengantara dan institusi yang kompetitif dalam bidang utama bagi membantu kecekapan dalam pengemblengan sumber dan membina asas domestik yang kukuh untuk sektor perkhidmatan kewangan. Langkah akan dilaksana bagi membangunkan lagi segmen utama pasaran modal seperti pasaran bon dan derivatif serta industri pengurusan dana. Penekanan juga akan ditumpu kepada membangunkan industri modal teroka bagi memudahkan pembiayaan industri berasaskan teknologi yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi. Selain daripada itu, tumpuan akan diberi kepada membangunkan Malaysia sebagai pusat antarabangsa aktiviti pasaran modal Islam.
 

Memaksimumkan potensi pelancongan. Pendekatan bersepadu dan menyeluruh akan diberi penekanan bagi membolehkan industri pelancongan mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi. Pembangunan industri pelancongan yang mampan merupakan bahagian penting dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pelancongan. Usaha akan ditumpu kepada program yang mempunyai impak yang besar dalam menarik pelancong dan meningkatkan hasil pelancongan. Malaysia akan ditonjolkan sebagai destinasi utama pelancong, penuh dengan perayaan dan acara menarik sepanjang tahun. Di samping itu, langkah akan terus dilaksana bagi meningkatkan pembangunan produk, pemasaran dan promosi, keselesaan dan keselamatan pelancong. Pembangunan sumber manusia akan diberi keutamaan selaras dengan keperluan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan. Pakatan strategik dan kerjasama antarabangsa akan terus diperkukuhkan untuk meningkatkan lagi promosi dan pembangunan pelancongan.

Menggiatkan sektor pertanian. Dalam tempoh Rancangan, perubahan sektor pertanian kepada sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing yang bersepadu dengan sektor ekonomi lain akan dipercepatkan. Tumpuan utama adalah menambah pengeluaran makanan, meningkatkan daya saing komoditi perindustrian menerusi penyatuan kawasan pertanian dan membangunkan sumber baru pertumbuhan. Langkah juga akan dilaksana bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dengan menggiatkan P&P serta menggunakan kemahiran dan teknologi baru. Perkhidmatan sokongan dan institusi akan diperkemas untuk menggalakkan lagi perladangan tersusun dan penyertaan aktif sektor swasta dalam aktiviti pertanian. Pengkomersilan produk pertanian akan dipromosi melalui penumpuan yang lebih kepada aktiviti P&P gunaan dan interaksi yang lebih rapat dengan pelabur yang berpotensi.



e). Perluasan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

ICT mempunyai peranan strategik dalam mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan kecekapan dan produktiviti semua sektor dalam ekonomi.

Dalam tempoh RMKe-8, usaha akan diambil untuk mempercepatkan pelaksanaan program dan projek berkaitan ICT di seluruh negara. Bagi mencapai tujuan ini, penyebaran dan penggunaan ICT dalam dan antara sektor akan terus diperluaskan. Persekitaran institusi, peraturan dan perundangan yang kondusif akan disediakan bagi membantu pembangunan ICT dan aktiviti lain yang berkaitan.

Usaha juga akan dilaksana bagi mempercepatkan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan membantu melaksana aplikasi perdana MSC. Di samping itu, Malaysia akan dibangunkan sebagai hub ICT dan multimedia global. PKS berasaskan ICT akan dibangun untuk menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program ICT, pembangunan sumber manusia akan diberi penekanan untuk menyediakan pekerja berpengetahuan dan mahir yang mencukupi. Seterusnya, kesedaran terhadap ICT akan dipertingkatkan di kalangan penduduk melalui kempen di seluruh negara dan pendidikan ICT. Langkah juga akan dilaksana bagi menangani jurang digital antara golongan kaya dan miskin, kawasan bandar dan luar bandar serta antara sektor ekonomi bagi memastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada ICT.



f). Peningkatan Pembangunan Sumber Manusia

Dalam tempoh Rancangan, teras utama pembangunan sumber manusia ialah menyediakan

asas sumber manusia yang kukuh bagi membantu pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan serta meningkatkan produktiviti dan daya saing. Sehubungan dengan ini, usaha untuk membangunkan sistem pendidikan dan latihan yang cekap dan responsif akan dilaksana bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga buruh berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang dilengkapi dengan nilai dan sikap positif. Di samping itu, pengajaran mengenai nilai-nilai etika dan moral akan diperkukuh dengan memasukkan nilai-nilai tersebut dalam kurikulum termasuk latihan guru.


Tumpuan khusus akan diberi untuk mengeluarkan lebih ramai tenaga manusia P&P dan S&T di peringkat tinggi. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah peluang memperoleh pengetahuan, penekanan akan diberi untuk meningkatkan kefasihan dan kemahiran berbahasa Inggeris di peringkat sekolah dan tertiari. Lebih banyak sekolah berasrama akan dibina bagi meningkatkan prestasi pelajar terutamanya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Selaras dengan liberalisasi dalam pendidikan dan latihan, penyertaan sektor swasta akan dipergiatkan terutamanya di peringkat tertiari. Sektor swasta akan digalak menambahkan kapasiti dengan menubuhkan kampus dan institusi baru dan mengendalikan lebih banyak program berkembar dengan universiti awam tempatan dan institusi pengajian tinggi luar negara serta memperluaskan program pengajian jarak jauh. Di samping itu, universiti awam dan swasta tempatan akan digalak membangunkan pusat kecemerlangan setanding dengan universiti luar negara yang bereputasi tinggi.



Akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti akan ditingkatkan melalui penyediaan kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang mencukupi terutamanya di kawasan terpencil dan pedalaman. Peruntukan bantuan kewangan yang mencukupi bagi meneruskan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari di institusi awam dan swasta akan menambah peluang pendidikan dan latihan, terutamanya di kalangan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.



Pada tahun 2005, belia merupakan 19.1 peratus dan wanita 49.5 peratus daripada jumlah penduduk. Golongan ini merupakan bahagian penting sumber manusia yang boleh menyumbang kepada pencapaian objektif pembangunan negara. Belia perlu diberi bimbingan serta dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai serta disemai dengan sikap dan nilai yang bai bagi menghadapi cabaran persekitaran yang berubah dengan pantas. Usaha juga akan dilaksanauntuk terus menyepadu dan menyediakan akses kepada wanita untuk membolehkan mereka mencapai potensi sepenuhnya dan setanding dengan lelaki dalam menyumbang kepada pembangunan.


g). Pencapaian Pembangunan Mampan

Penekanan akan diberi untuk menangani isu alam sekitar dan sumber asli secara bersepadu dan menyeluruh. Langkah akan diambil bagi mengenal pasti pendekatan pengurusan yang berhemat, berkeberkesanan kos dan sesuai yang dapat memberi pelbagai manfaat untuk memastikan pembangunan mampan dan berdaya tahan. Kerajaan akan mengambil langkah

pencegahan awal dan menggunakan prinsip berwaspada bagi menangani isu pengurusan alam sekitar dan sumber semulajadi. Kerajaan juga akan mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelaksanaan perubahan polisi yang efektif termasuk strategi mewujudkan peluang kepada sektor swasta menyertai pelaksanaan langkah pemuliharaan alam sekitar.

Langkah akan diambil bagi memperkukuhkan pangkalan data dalam membuat keputusan mengenai alam sekitar dengan memperkenalkan penggunaan indikator pembangunan mampan. Ini membolehkan Kerajaan mengenal pasti impak ke atas alam sekitar dan merangka rancangan tindakan pemulihan dengan lebih baik. Usaha menangani pencemaran udara akan diteruskan, terutamanya daripada kenderaan bermotor. Dasar Air Negara akan digubal bagi memastikan sumber air dikendalikan dengan lebih efisien dan berkesan. Di samping itu, dasar pengurusan sisa yang komprehensif akan diperkenalkan bagi menangani isu pengurangan serta penggunaan dan pengitaran semula sisa.

Perancangan guna tanah akan diperkukuh dan peraturan diperkenalkan bagi mengawal akses kepada sumber biologi dan menangani isu keselamatan biologi berkaitan dengan organisma yang diubah secara genetik. Pengurusan hal ehwal laut secara keseluruhan akan dikaji semula bagi menangani konflik antara pelbagai aktiviti di kawasan laut, mengurangkan tekanan ke atas persekitaran laut dan memperluaskan kepelbagaian biologi laut dan pantai. Di peringkat antarabangsa, Kerajaan akan terus memantau dan menyertai perundingan alam sekitar bagi memastikan langkah-langkah yang dicadangkan dalam forum tersebut tidak akan menghalang pembangunan Malaysia atau mendiskriminasikan produk berdasarkan ciri-ciri alam sekitar.


h). Peningkatan Kualiti Hidup

Usaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi akan disertai dengan penyediaan peluang yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Sehubungan dengan ini, penyediaan dan akses kepada perkhidmatan sosial adalah penting untuk memastikan orang ramai dapat hidup dengan aman dan melibatkan diri sepenuhnya dalam masyarakat. Pelaburan dalam perkhidmatan sosial akan menyumbang dan membantu meningkatkan peluang mendapat perkhidmatan sosial yang lebih seimbang dan saksama serta meningkatkan kualiti hidup. Kerajaan akan terus memastikan setiap lapisan masyarakat memperolehi faedah pembangunan menerusi penyediaan perkhidmatan sosial yang mencukupi dan berkualiti kepada semua golongan, khususnya kumpulan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik serta golongan istimewa. Tumpuan akan diberi bagi menyediakan peluang pendidikan dan meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang lebih baik serta perumahan yang mampu dimiliki. Di samping itu, usaha akan dilaksana bagi menambah kemudahan kebudayaan dan riadah serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Kerajaan akan terus menyedia dan memperbaiki kemudahan pendidikan yang merupakan elemen penting untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik. Bagi meningkatkan kadar enrolmen di peringkat prasekolah, menengah dan tertiari, tumpuan khusus akan diberi untuk meningkatkan enrolmen dan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar.

Teras sektor kesihatan adalah untuk terus memperbaiki status kesihatan penduduk menerusi peluasan program pembangunan kesihatan serta memastikan semua rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti. Sektor swasta akan digalak meluaskan liputan perkhidmatan kesihatan untuk melengkapi peranan sektor kesihatan awam. Mekanisme kawal selia akan dibentuk untuk memastikan sektor awam dan swasta menyediakan rawatan kesihatan berkualiti pada kos yang berpatutan.

Dalam tempoh RMKe-8, tumpuan akan diberi kepada penyediaan perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki oleh kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Di samping itu, penekanan akan terus diberi kepada penyediaan kemudahan perumahan dan infrastruktur yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar. Usaha akan dilaksana untuk meluaskan liputan penyediaan kemudahan awam seperti bekalan air, elektrik dan pembetungan. Keutamaan akan diberi kepada perluasan bekalan air di kawasan luar bandar dari sumber lain seperti air bawah tanah, sungai dan anak sungai. Tumpuan juga akan diberi untuk meningkatkan kapasiti dan akses kepada infrastruktur di kawasan kurang maju sementara di kawasan bandar usaha akan ditumpu kepada meningkatkan kecekapan dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan.

Aspek estetik dalam kualiti hidup akan terus diberi penekanan menerusi penglibatan yang lebih besar dalam aktiviti seni dan kebudayaan. Ini akan digalakkan menerusi kempen, pameran dan persembahan di peringkat negeri dan daerah. Usaha ini akan diperlengkapkan dengan pembangunan kemudahan fizikal yang diperlukan. Kualiti persembahan kebudayaan juga akan ditingkatkan melalui penyediaan latihan kepada artis dan mengenal pasti bakat-bakat baru.

Sukan akan terus digalakkan sebagai alat untuk melahirkan ahli sukan bertaraf dunia, membina gaya hidup sihat serta menguatkan semangat perpaduan, setiakawan dan semangat kekitaan di kalangan pelbagai kumpulan etnik. Penyertaan dalam sukan akan digalakkan melalui pelaksanaan program bersesuaian yang dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berdisiplin dan berdaya saing.

Langkah perlindungan dan pendidikan pengguna akan dipergiatkan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kebajikan pengguna. Ini akan meningkatkan kesedaran pengguna dan melindungi kepentingan mereka.

Bagi memenuhi permintaan dan harapan pengguna yang semakin tinggi, pengeluar dan peniaga perlu meningkatkan kecekapan dan produktiviti secara berterusan bagi menyediakan barang-barang berkualiti pada harga yang kompetitif.



i). Penanganan Isu Sosial

Pembangunan ekonomi dan pembandaran akan memberi kesan ke atas norma serta institusi sosial dan kebudayaan. Di samping itu, globalisasi mempunyai impak dan mungkin mengancam keutuhan struktur kekeluargaan dan komuniti tradisional serta mempengaruhi nilai-nilai budaya dan norma dalam integrasi sosial dan pembinaan nusa bangsa. Usaha-usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan masyarakat mempunyai daya tahan untuk menghadapi pengaruh negatif yang mungkin memberi kesan kepada asas keharmonian dan toleransi sosial. Ketidakupayaan berhadapan dengan perubahan sosial termasuk perubahan gaya hidup dan struktur kekeluargaan akan menimbulkan pelbagai masalah sosial dan menafikan faedah pembangunan ekonomi. Oleh itu, strategi dan program pembangunan sosial perlu digubal serta mekanisme sokongan social yang sesuai disediakan.

Pelan Tindakan Sosial (PINTAS) yang digubal pada tahun 1998 menyediakan rangka kerja untuk membentuk sistem yang seimbang yang menyepadukan pelbagai komponen pembangunan sosial dan akan dilaksanakan di seluruh negara. Bagi menangani isu-isu sosial, PINTAS akan memberi tumpuan kepada aspek promosi, pencegahan, penglibatan dan pemulihan. Melalui sistem ini, perkhidmatan dan sumber yang disediakan oleh Kerajaan dan agensi bukan kerajaan akan disepadu dan diselaraskan untuk menyokong usaha pembangunan sosial secara berkesan. Sehubungan dengan ini, iltizam dan kerjasama daripada semua kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, komuniti setempat dan individu adalah perlu untuk memastikan masalah sosial dapat dicegah dan diuruskan secara profesional. 

Menyedari bahawa keluarga adalah asas kestabilan sosial dan masyarakat penyayang, tumpuan akan terus diberi untuk memperkukuhkan unit keluarga. Usaha akan terus diambil untuk membolehkan keluarga menghadapi cabaran kesan daripada kepesatan pembangunan ekonomi serta memastikan kestabilan dan keharmonian dalam keluarga. Di samping itu, program pembangunan keluarga akan terus dilaksana bagi memastikan keluarga dan masyarakat pada umumnya berdaya tahan.



3.13 Pengukuhan Nilai Moral dan Etika

Sistem nilai murni yang menekankan tingkah laku bermoral dan beretika yang berasaskan

agama, adat dan tradisi merupakan komponen penting dalam semua usaha pembangunan. Sifatsifat yang baik seperti amanah, disiplin, rajin, jujur, hormat dan toleransi akan terus dipupuk dan dipelihara melalui sistem pendidikan, pertubuhan agama dan sosial, badan perniagaan dan media. Tumpuan yang lebih akan diberi untuk menyemai nilai-nilai positif ini di kalangan belia melalui pelaksanaan program Rakan Muda.

Dalam usaha menjadi sebuah negara maju sepenuhnya seperti terkandung dalam Wawasan 2020, adalah perlu untuk memupuk semangat identiti bersama dan bangga terhadap Negara berasaskan warisan dan pencapaian yang lepas serta meningkat dan mengoptimumkan potensi yang sedia ada. Semangat identiti bersama dan berkongsi tujuan sangat penting dalam usaha pembangunan nusa bangsa. Pemupukan nilai positif dan kepercayaan terhadap nilai moral dan tingkah laku beretika sebagai satu cara hidup di kalangan rakyat akan terus menjadi asas kepada kejayaan negara.

3.14 Penutup

Teras RMKe-8 adalah untuk mengekalkan pertumbuhan dan daya saing bagi menghadapi perkembangan globalisasi dan liberalisasi. Pengurusan berhemat ekonomi makro bagi memastikan penggunaan sumber yang optimum dan cekap serta usaha memperkukuhkan daya tahan sistem kewangan diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan. Strategi untuk menangani cabaran utama dalam tempoh Rancangan termasuk meningkatkan produktiviti, menambah penawaran tenaga manusia yang berkualiti, menggiatkan aktiviti P&P dan meningkatkan pembangunan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan. Bagi membolehkan Negara membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, ekonomi negara perlu beroperasi pada sempadan pengeluaran yang lebih tinggi dan mempercepatkan peralihan daripada pertumbuhan yang didorong oleh input kepada pertumbuhan didorong oleh produktiviti. Pada masa yang sama, tumpuan akan juga diberi bagi meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih baik termasuk kemudahan pendidikan dan kesihatan, perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki dan perkhidmatan lain yang berkaitan. Usaha juga akan dilaksana bagi memastikan kehidupan sosial masyarakat diperkukuh dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi pengaruh negatif yang mungkin akan member kesan terhadap asas toleransi dan keharmonian sosial serta pembinaan nusa bangsa.

1 comment:

  1. Play Blackjack at a Casino! - Microgaming - Microgaming
    A classic goyangfc.com card game is a thrilling and 도레미시디 출장샵 engaging blackjack game 1xbet 먹튀 at Microgaming. This fun game apr casino is now available for your device!

    ReplyDelete